Sepagi Jumaat di Bunut Susu, Pasir Mas

Sepagi  Jumaat di Bunut Susu, Pasir Mas

Waktu pagi datang bertamu,
ke rumah nenek menumpang sedih;
tersenyum nenek menyambut tamu,
menahan sedih tentulah perih.

Duduk bersimpuh di ruang tamu,
menyambut tamu amatlah ramah;
bahasa disusun sudah diramu,
raut wajah orangnya tabah.

Bertanya khabar sanak saudara,
jauh dekat sama dipeduli;
biarpun sedih banyak bicara,
bicara Farid sudahlah lali.




Ramai tamu datang berkunjung,
bertanya khabar mencari pasti,
cucu diperli tidaklah tersinggung,
hilang cucu tiada berganti.

Sarapan pagi diberi rata,
Sambil bercerita terasa payah;
keliling nenek mendengar cerita,
hilang pesawat ke mana entah?

Berserah nenek kepada Allah,
apa terjadi menjadi suratan;
doa dihimpun tidaklah patah,
cucu ditemui itulah harapan.

Sepagi jumaat bersama nenek,
apa tersirat sudah dilepas;
semangat tabah  tidaklah renek,
kami berziarah tentulah puas.

Bertanya nenek kami yang hadir,
di  mana lagi sanak saudara?
penyambung semangat  di sebalik tabir,
titisan mutiara berlinang di muara.

Adat bertamu ada penghujung,
mohon diri beralih pergi;
budi luhur amat disanjung,
sumbangan diberi sama berbahagi.

Lambaian nenek tentulah sayu,
tinggal nenek membawa diri;
datanglah lagi pesannya merayu,
kereta dipandu melangkah diri.

Bunut Susu, Pasir Mas.
28. 03. 2014






Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Pantun Hujan Dinanti Sudah Tiba

Kapal Berlayar Mencari Dermaga