KHABAR BESAR BERDASARKAN SURAH YASIN

KHABAR BESAR BERDASARKAN SURAH YASIN

Al-Quran itu gudang hikmah,
Muhammad itu pesuruh Allah;
Jalan lurus terbuka sudah,
Berikan peringatan mana ditegah,

Kaum yang engkar akan berpaling,
Mana yang betul tidak diikut;
Panduan kitab janganlah enteng,
Baru hidup hilang berserabut.

Khabar gembira mesti disampai,            
Tugas dakwah memberikan peringatan;
Tugas dakwah tiada selesai,
Sepanjang zaman memberi   peringatan.

Insan yang mati akan dihidupkan,
Amal di dunia ada ditulis;
Akhirat nanti surat di dikembalikan,
Engkar di dunia kalian menanggis.
                 


Hidup di dunia usah melampau,
Al-Quran kitab jadkan ukuran;
Neraka tempat kalian dihalau,
Hidup di dunia bataskan sempadan.

Allah itu Maha Pengampun,
Satu saat engkau jadi mulia;
Di syurga Allah engkau terpegun,
Sepanjang masa hidupmu ceria.

Kekuasaan Allah di depan mata,
Bumi tandus jadi menghijau;
Rezeki Allah untuk manusia semata,
Banyaklah   bersyukur  jangan melampau.


Siang malam silih berganti,
Matahari beredar mengikut laluannya;              
Nikmat Allah silih berganti,
Semua beredar mengikut edarnya.




Penuh muatan bahtera besar,
Rahmat kesenangan daripada tuhan;
Manusia berfikir tidaklah sukar,
Limpah kurnia daripada tuhan.

Rezeki Allah hendaklah berbahagi,
Tanda bersyukur orang  yang benar;
Infaq diberi tidaklah rugi,
Baru nikmat tidak tersasar.

Alam akhirat manusia dibangkit,
Padang Mahsyar semuanya dikumpul;
Sombong di dunia terasalah perit,
Amal di dunia semuanya disimpul.

Sedikitpun manusia tidak dirugi,
Perbuatan di dunia akan dibalas;
Amalan di sana tidak berbahagi,
Janji Allah tentulah tegas.

Penghuni syurga bersenang dalam kesibukan,
Nikmat berganda di depan mata;
Ucapan ‘salam’ dari Tuhan,
Perkara benar tiada diolah cerita.

Mana yang engkar berpisah sudah,
Berbuat jahat dihumban ke neraka;
Musuh yang nyata tahulah sudah,
Bersama syaitan tempatnya di neraka.

Jalan lurus menyembah Allah,
Telunjuk syaitan  jalannya sesat;
Sama berfikir tidaklah susah,
Mengaku beriman apakah  berat?

Akhirat nanti mulut dikunci,
Menjadi saksi anggota tubuh;
Pengajaran kitab usah dibenci,
Bina keyakinan hati yang kukuh.

Binatang ternak khusus untuk hamba,
Rezeki melimpah untuk dimakan;
Banyak manfaat terlebih laba,
Nikmat berganda  bertandan-tandan.




Sembahan lain dicari pertolongan,
Apa tersembunyi Allah ketahui;
Mengapa lupa asal kejadian,
Setitik mani sudah diketahui.

Penentang nyata di depan mata,
Kuasa Allah mudah dicabar;
Akhirat nanti sungguh derita,
Baru menyesal khabar yang benar.

Dialah Allah tuhan Pencipta,
Langit bumi Dia yang menjadi
Kata ‘jadi’ pasti tercipta,
Kamu dipulangkan siapa yang menjadi.

Banyaklah tuan ambil pengajaran,
Kalimah Allah semuanya benar;
Neraka Allah  tiada kasihan,
Syurga Allah perkara yang benar.

Andai salah hamba mengarang,
Kepada Allah mohon ampun;
Tinggalkan tuan apa dilarang,
Lafaz istighfar biarlah rumpun.

Andai salah isi disusun,
Mana yang arif mohon menegur;
Hidup di dunia membangun santun,
Larangan Allah samalah akur.

Bera
11 09 2014


Puisi ini berdasarkan  sebahagian transformasi teks  asal  terjemahan kitab   suci Al- Quran surah Yasin. Sila rujuk surah tersebut untuk mengetahui  maklumat yang lebih lanjut.

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat