Khabar dari Akhirat

Khabar dari Akhirat

Kiamat itu adalah hari pasti,
Tiada siapa berhak berdusta;
Semua makhluk menemui mati,
Penanggung dosa berputih mata.

Pasak bumi akan berterbangan,
Bintang bertembung hancur berkecai;
Anak dikendung terlepas pegangan,
Anak dakapan terlepas bercerai.

Alangkah mulia orang beriman,
Sepanjang masa dijaga Allah;
Bertuahlah mereka mengaku bertuhan,
Penghuni syurga cahaya terserlah.

Alangkah azab mereka penderhaka,
Sepanjang detik  di murka Allah;
Alam sana menerima celaka,
Melepas azab dikunci payah.



Tiada pening tiada mabuk,
Buahan lazat di kelopak mata;
Minuman lazat mudah diteguk,
Penghuni neraka kecewa mendengar cerita.

Bidadari menawan bermata jeli,
Laksana mutiara tersimpan baik;
Apa tersedia tidak membeli,
Penghuni neraka merayu menjadi baik.

Alangkah bahagia golongan kanan,
Air di sekeliling tercurah-curah;
Penghuni neraka tiada impian,
Keadilan pasti terserlah tiada salah.

Alangkah merana golongan kiri,
Siksaan dalam api yang pedih;
Mencari penawar tercari-cari,
Sepanjang saat dibalun gelombang sedih.

Mereka yang sesat terimalah habuan,
Bagaimana pedih buah Za’qum;
Di sini tempat terima balasan,
Peringatan kitab sudah diumum.

Kamu manusia daripada nutfah,
Yang Arif lagi Gagah yang menjadi;
Kebangkitan kembali kausanggah,
Hidup di dunia palingkan budi.

Penghuni neraka benar dalam kerugian,
Tiada hasil kautanam di dunia;
Di sana tiada tempat menerima  alasan,
Terlepas sudah nikmat Allah kurnia.

Hidup di dunia tiada bersyukur,
Kitab Allah kaumasih ragu;
Pedih api susah diukur,
Azab Allah sedia menunggu.

Golongan pendusta terimalah azab,
Air mendidih itulah hidangan;
Inilah balasan pendusta kitab,
Syurga Allah hilang dalam impian.




Tercampak kamu di neraka Jahanam,
Inilah dia keyakinan benar;
Selagi  bernafas ambilah faham,
Alam akhirat hilanglah gusar.

Syurga Allah tempat penantian,
Selamatlah kamu hidup selama;
Kitab Allah jadikan panduan,
Banyak bertasbih sejahtera selama.

Dalam Al-Quran sudah bicara,
Surah Al-Waqi’ah mari dibedah;
Mengambil faham banyaklah cara,
Amal di dunia serah kepada Allah.

Hamba bukan pemutar cerita,
Kitab Allah tercatat jelas;
Sama mengingat sesama  kita,
Alam akhirat tempat membalas.

Mengaku bertuhan usahlah culas,
Rasul Allah jadikan panduan;
Suruhan Allah sama digalas,
Mencari berkat itulah pilihan.
Bera,
09 09 2014


Karya ini berdasarkan  sebahagian transformasi teks dalam Kitab suci Al-Quran  Surah Al-Waqi’ah. Sila baca dan faham surah tersebut untuk mengambil pengajaran.

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat