PANTUN HARI LEBARAN

PANTUN HARI LEBARAN
Ramainya anak bersuka ria,
Menanti lebaran pasti menjelang;
Kunjung mengunjung amalan mulia,
Perkasa ummah agama disanjung.
Bermain mercun di tepi rumah,
Usah jadikan sebagai amalan;
Kurang pembaziran amalan ummah,
Sahabat jauh mari dekatkan.
Hari lebaran semua ceria,
Si miskin juga turut menumpang;
Bersuka ria amalan mulia,
Jaga adab jangan terpesong.
Mari minum jamah ketupat,
Suka si anak menyambut taulan;
Pulang kampung saudara dirapat,
Keluarga di kampung dilupa jangan.
Pagi raya mencari timba;
Bersih diri cuci badan;
Jalan raya bukannya liatar lumba,
Keluarga menanti dalam tangisan.
Berbaju kurung makan laksa,
Duduk sopan bersama teman;
Rezeki yang ada berbagi rasa,
Baru muhibbah sesama insan.
Wang lebaran mesti disimpan,
Dapat habuan jangan berlagak;
Bulan Ramadan memagar iman,
Datang Shawal jangan dirombak.
Jagung manis enak dipanggang,
Itulah resepi zaman berzaman;
Ibu di kampung menanti harapan,
Menanti anak pulang lebaran
Cari album dalam almari,
Megenang sahabat kasih taulan;
Kenalan jauh penganti diri,
Hari lebaran saling bermaafan.
Masak gulai masuklah cekur,
Menyambut tetamu hari lebaran;
Kasih sahabat tiada kan luntur,
Hari lebaran datanglah bertandan.
Berbaju melayu nampaklah anggun,
Duduk bersimpuh si anak dara;
Tinggallah dahulu tempat perantauan,
Rapatkan kembali sesama saudara.
Enak ketupat bersalutkan santan,
Daun palas dibuat ketupat;
Beza fahaman bukan sempadan.
Bulan mulia rapatkan sahabat.
Pagi raya mandi di telaga,
Berdandan elok mengadap cermin;
Bersuka ria adab dijaga,
Itulah panduan orang mukmin.
Orang mukmin wajah bercahaya,
Iman meresap dalam badan;
Bersuka ria di pagi raya,
Fakir miskin dilupa jangan.
Nasi kerabu makan di halaman,
Terleleh liur teramat sedap;
Sahabat jauh sesama dekatkan,
Itu tanda orang beradab.
Berdiri dara di muka pintu,
Menanti kekasih tiadaberkunjung;
Setia dara pada yang satu,
Hari lebaran pengikat hubung.
Hari lebaran nampaklah tanda,
Rumah siap berkayu cenggal;
Kalau makan biar berpada,
Nanti lebaran dalam hospital.
Penghujung Ramadan mohon ampun.
Buat amal sepanjang masa;
Tersalah kata mohon diampun,
Itulah adat manusia biasa.
Cari serai buat kerabu,
Buat hidangan tidaklah susah;
Pulang kampung jenguklah ibu,
Lepas kerinduan lama bepisah.
Bera, 13 Ogos 2012


Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat