SYAIR KESOMBONGAN DAN UBAT RAWATAN

SYAIR KESOMBONGAN DAN UBAT RAWATAN

Dengarkan tuan hamba berwasiat,
semoga tuan dalam afiat,
karangan fakir saling mengingat,
dapat dijadikan tamsil ibarat.

Ini karangan ubat kesombongan,
perangai binatang jangan disimpan,
hidup di sisi Tuhan ada tujuan,
selagi hidup sedialah bekalan.

Kesombongan bersarang dari keturunan,
kononnya digelar orang bangsawan,
mengapa dijulang darah keturunan?
keturunan baik  palitkan sopan.

Carilah kawan ubat penawar  bisa,
tidak malukah menumpang mulia,
kononnya dari keturunan mulia,
mengapa dicanang tidaklah aulia.




Sesama insan  berdarah merah,
tiada yang putih janganlah marah,
keturunan mulia janganlah megah,
membawa jasad ke dalam tanah.

Mengejar pangkat  mahu dijulang,
ingin digelar nama  di bintang,
pangkat di sisi Tuhan biarlah cemerlang,
iniah sifat  ummah terbilang.

Amal dibawa itu yang sudah,
darjat mulia  tinggallah sudah,
hiasi takwa buat penyudah,
sisi Tuhan kita menyerah.

Kecantikan dipuja  nampaklah hebat,
kemaruk kesombongan lagilah hebat,
lama berdandan takutlah cacat,
membilang kesombongan timbullah umpat.

Pergi ke pasar banyak berdandan,
apakah ini ada tujuan?
peraga diri biar perasan,
itu bukan sifat budiman.

Adakan  penawar ubat penghilang,
kecantikan terpampang akan terbuang,
tidakkah kubur tempat yang malang,
bersama ulat kita di buang.

Tileklah juga asal kejadian,
setitis mani asal kejadian,
baunya hanyir amat murahan,
air busuk rupanya kejadian.

Tubuh tegak dada sasa,
inilah cabang kesombongan tersisa,
tubuh tegak tidakkah binasa?
penyakit menanti tunggulah sengsara.

Kulit berkedut meniti usia,
gigi tanggal tanda berusia,
banyakkan istighfar jangan beria
rupanya diri dimamah usia.

Lihat derita  empunya badan,
kutu di kepala kudis di badan,
banyak bertanya hilangkan  segan,
bagaimana mengubat empunya badan.

Kekayaan membanjir punca kesombongan,
emas banyak membelit badan,
harta melimpah menimbun  badan,
bibit di  rumah umpama umpan.

Teman taulan jadilah kaya budiman,
Sedekah zakat tetapkan ukuran,
andai  insaf empunya badan,
harta menimbun  ada tujuan.

Tahukah tuan kesombongan terkutuk,
bertuhankan harta alangkah buruk,
harta melimpah akan terpuruk,
rezeki yang lain tak kan masuk.

Harta bertimbun sebentar kehabisan,
kebakaran gudang meninggi awan,
banjir badai tiada kesudahan,
wang kehabisan mengubat badan.

Kelak jadilah kita orang meminta,
malu manusia tidak terkata,
jadi pengemis menanggung derita,
hutang membelit menanti sengketa.

Kesombongan terpalit ahli ilmuan,
tidak berhati  amat keruan,
malang digelar orang cendikiawan,
maksiat berlegar keliling badan.

Orang alim sifatnya mengetahui,
bahaya dari Allah sudah diketahui,
kesombongan sifat Allah perlu diketahui,
inilah perencah sama  diketahui.

Dosa yang alim juga bertimun,
dosa dibuat sudahkah diampun?
muhasabah diri moga diampun.
inilah penawar alim cendikiawan

Akhirnya hidup itulah kepastian,
rendah diri mohon  keampunan;
kesudahan yang baik itu impian,
mana yang buruk bukan tujuan.

Bangga diri digelar alim ulamak,
Iblis syaitan tambahlah segak,
sifat kesombongan seakan membiak,
seakan hanya aku yang warak.

Peganglah kuat tali yang teguh,
memadamkan cahaya sekelian runtuh,
Jin syaitan sekelian musuh,
hendak merayu bersungguh-sungguh.

Alim ulamak sama berfikir,
terimakah amalan sudahkah difikir?
ketaatan dibuat  tiada mungkir,
 sisi Allah letaklah fikir.

Banyak amalan layakah diterima?
sisi Allah  Dialah terima,
kesombongan membanjir sia-sia cuma,
sisi  Allah semuanya percuma.

Banyak istighfar janganlah gundah,
menentukan tauhid janganlah ubah,
sempurna jalan iman yang mudah,
pertemuan Tuhan terlalu susah.

Hamba bersyair siaplah sudah,
mengarang syair tidaklah indah,
sama membetuli  persiapan berpindah,
di sana tempat pasti sudah.

Mana yang kurang minta ditambah,
mana tersilap jangan dipanah,
sama mengharap keridaan Allah,
di situ tempat kita menyerah.

Sarji  Kasim
Bera
02 02 2014








Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat