PANTUN ISU SEMASA

PANTUN ISU SEMASA


Kalau tuan mencari belalang,
Carilah tuan di tepi sawah;
Lesbian homoseks makin berkembang,
Salah gerak kecundang ummah.

Mari tuan ke hujung pekan,
Sama mencari si ikan bujuk;
Murtad itu bukan mainan,
Kepada Allah mohon petunjuk.

Mari tuan membuat galah,
Mari tebang buluh berimbun;
Seks rambang larangan Allah,
Sama hindarkan mohon ampun.

Hati-hati menangkap ular,
Ular melingkar dalam roda;
Seks bebas makin menular,
Ibu ayah awas waspada.

Cari ikan hujung paya,
Pergi anak bersama papa;
Salah pergaulan banyak onaknya,
Lahir anak tidak berbapa.

Ramai bermain taman larangan,
Rumput kering nampaklah tanah;
Kurang ilmu kurang iman,
Salah didikan sengsara ummah.

Usah menjolok sarang tebuan,
Kalau salah bawa padah;
Fitnah itu bukan dagangan,
Dialah ibu perosak ummah.

Dari jauh nampak si dara,
Rajin kerja tiada malas;
Sembunyi tuan aib sesaudara,
Akhirat nanti Allah membalas.

Kota lama teduhan atap,
Kota lama banyak cerita;
Hamba mengarang jauh mengharap,
Sekadar ingatan sesame kita.

Bera,
24. 05.2012

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat