Aki Net ; Semoga Damai Kautemui di Dunia Sana

Aki Net  ; Semoga Damai Kautemui di Dunia Sana

Berbelas tahun hamba bersamamu
Duduk bersila di hadapan kitab tua
Menyelongkar kata dan makna 
Inilah rutin di madrasaha tua bersamamu

Kini kausudah pergi menemui Tuhammu dan Tuhanku
Seakan kaumasih lagi bersama kami
Selesai azan seakan  terdengar langkah engkau  berjalan untuk solat bersama kami
Seakan mutiara ilmu yang kaulantunkan  saban malam masih terngiang di telingaku

Tuan guru,
Tidak terhitung  curahan  ilmu yang kauberikan pada kami
Tidak terhitung banyak amalan yang kami lakukan dengan panduanmu
Masih belum cukup, tuan guru
Aku ingin kembali seperti dulu
Selepas Maghrib kita bukakan kitab tua yang masih berharga
Selepas subuh; kita  selongkar  kalimah Allah
Pagi minggu; kuliah  duhamu kutunggu
Selesai sudah di medan ilmu; kita duduk bersila menikmati rezeki Allah
Sambil bersembang hiruk pikuk dunia takpernah selesai
Alangkah indahnya saat itu


Selamat pergi tuan guru
Moga rohmu abadi bersama solihin
Madrasah ini lambang semangat juangmu
Dan kauangkat madrasah ini sebagai masjid
Agar kami dapat beriktikaf di dalamnya

Budi baikmu takterbeli
Hilang sudah tempat bersenda
Hilang sudah permata berharga
Pergimu ditangisi  pejuang ilmu

Tuan guru,
Semangat juangmu kusambung kembali
Hilang gading tandukpun berguna
Pergimu tiada galang ganti
Budi baikmu  kukenang sepanjang hayat di kandung badan

Wahai Allah; Damaikan roh pejuang sucimu
Al-Fatihah kuhadiahkan untukmu, tuan guru
Saat aku teramat rindu padamu
Damai abadi semoga kautemui
Aku masih di sini dan seperti kata hikmahmu;
     “Hidup ini hanya senafas naik dan senafas turun”
Dan aku jua insan  sebaris denganmu
Menanti saat panggilan itu.

Kain kafan pembungkus mayat,
Sanak saudara menangis sedu;
Panggilan Allah tiada dapat disekat,
Al-Fatihah kuhantar pelepas rindu.

Di bawa orang keranda putih,
Sudah berpisah jasad dan nyawa;
Melepas tuan teramat sedih,
Ilmu dan amal telah kaubawa.

Bera,
03  09  2014





Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Pantun Hujan Dinanti Sudah Tiba

Kapal Berlayar Mencari Dermaga