SYAIR KESOMBONGAN DAN UBAT RAWATAN
SYAIR KESOMBONGAN DAN UBAT RAWATAN
Dengarkan tuan hamba berwasiat,
semoga tuan dalam afiat,
karangan fakir saling mengingat,
dapat dijadikan tamsil ibarat.
Ini karangan ubat kesombongan,
perangai binatang jangan disimpan,
hidup di sisi Tuhan ada tujuan,
selagi hidup sedialah bekalan.
Kesombongan bersarang dari keturunan,
kononnya digelar orang bangsawan,
mengapa dijulang darah keturunan?
keturunan baik palitkan sopan.
Carilah kawan ubat penawar bisa,
tidak malukah menumpang mulia,
kononnya dari keturunan mulia,
mengapa dicanang tidaklah aulia.
Sesama insan berdarah merah,
tiada yang putih janganlah marah,
keturunan mulia janganlah megah,
membawa jasad ke dalam tanah.
Mengejar pangkat mahu dijulang,
ingin digelar nama di bintang,
pangkat di sisi Tuhan biarlah cemerlang,
iniah sifat ummah terbilang.
Amal dibawa itu yang sudah,
darjat mulia tinggallah sudah,
hiasi takwa buat penyudah,
sisi Tuhan kita menyerah.
Kecantikan dipuja nampaklah hebat,
kemaruk kesombongan lagilah hebat,
lama berdandan takutlah cacat,
membilang kesombongan timbullah umpat.
Pergi ke pasar banyak berdandan,
apakah ini ada tujuan?
peraga diri biar perasan,
itu bukan sifat budiman.
Adakan penawar ubat penghilang,
kecantikan terpampang akan terbuang,
tidakkah kubur tempat yang malang,
bersama ulat kita di buang.
Tileklah juga asal kejadian,
setitis mani asal kejadian,
baunya hanyir amat murahan,
air busuk rupanya kejadian.
Tubuh tegak dada sasa,
inilah cabang kesombongan tersisa,
tubuh tegak tidakkah binasa?
penyakit menanti tunggulah sengsara.
Kulit berkedut meniti usia,
gigi tanggal tanda berusia,
banyakkan istighfar jangan beria
rupanya diri dimamah usia.
Lihat derita empunya badan,
kutu di kepala kudis di badan,
banyak bertanya hilangkan segan,
bagaimana mengubat empunya badan.
Kekayaan membanjir punca kesombongan,
emas banyak membelit badan,
harta melimpah menimbun badan,
bibit di rumah umpama umpan.
Teman taulan jadilah kaya budiman,
Sedekah zakat tetapkan ukuran,
andai insaf empunya badan,
harta menimbun ada tujuan.
Tahukah tuan kesombongan terkutuk,
bertuhankan harta alangkah buruk,
harta melimpah akan terpuruk,
rezeki yang lain tak kan masuk.
Harta bertimbun sebentar kehabisan,
kebakaran gudang meninggi awan,
banjir badai tiada kesudahan,
wang kehabisan mengubat badan.
Kelak jadilah kita orang meminta,
malu manusia tidak terkata,
jadi pengemis menanggung derita,
hutang membelit menanti sengketa.
Kesombongan terpalit ahli ilmuan,
tidak berhati amat keruan,
malang digelar orang cendikiawan,
maksiat berlegar keliling badan.
Orang alim sifatnya mengetahui,
bahaya dari Allah sudah diketahui,
kesombongan sifat Allah perlu diketahui,
inilah perencah sama diketahui.
Dosa yang alim juga bertimun,
dosa dibuat sudahkah diampun?
muhasabah diri moga diampun.
inilah penawar alim cendikiawan
Akhirnya hidup itulah kepastian,
rendah diri mohon keampunan;
kesudahan yang baik itu impian,
mana yang buruk bukan tujuan.
Bangga diri digelar alim ulamak,
Iblis syaitan tambahlah segak,
sifat kesombongan seakan membiak,
seakan hanya aku yang warak.
Peganglah kuat tali yang teguh,
memadamkan cahaya sekelian runtuh,
Jin syaitan sekelian musuh,
hendak merayu bersungguh-sungguh.
Alim ulamak sama berfikir,
terimakah amalan sudahkah difikir?
ketaatan dibuat tiada mungkir,
Di sisi Allah letaklah fikir.
Banyak amalan layakah diterima?
sisi Allah Dialah terima,
kesombongan membanjir sia-sia cuma,
sisi Allah semuanya percuma.
Banyak istighfar janganlah gundah,
menentukan tauhid janganlah ubah,
sempurna jalan iman yang mudah,
pertemuan Tuhan terlalu susah.
Hamba bersyair siaplah sudah,
mengarang syair tidaklah indah,
sama membetuli persiapan berpindah,
di sana tempat pasti sudah.
Mana yang kurang minta ditambah,
mana tersilap jangan dipanah,
sama mengharap keridaan Allah,
di situ tempat kita menyerah.
Sarji Kasim
Bera
02 02 2014
Comments
Post a Comment