(7) PENCEROBOHAN TENTERA BERGAJAH DAN BANTUAN ALLAH

PENCEROBOHAN TENTERA BERGAJAH DAN BANTUAN ALLAH

Dari Yaman menuju Mekah
Tiada siapa dapat menyekat
Musibah datang melanda Mekah
Hancurkan Ka’bah itulah hajat

Abrahah iri tiada terperi
Ka’bah tetap tempat mulia
Pelbagai ikhtiar sudah dicari
Gereja dibina biarlah mulia

Gereja dibina besarlah belanja
Emas gading hiasan bina
Betapa banyak menghabiskan kerja
Orangnya tiada Abrahah terhina

Abrahah datang amatlah garang
Gereja dibina tinggalah sepi
Berpakat mereka untuk merancang
Menyerang Mekah persiapan rapi




Gerombolan Gajah teramat megah
Itulah kesepakatan sudah dirancang
Abrahah datang bersama gajah
Suku Arab tetap menghalang

Garang Abrahah tiada lemah
Mengacau Mekah menghilangkan aman
Datang Abrahah dengan gaja,
Arab tawanan penunjuk jalan

Datang sombong tiada kasihan
Merampas Ka’bah itulah impian
Datang mereka tiada tertahan,
Datang Abrahah bukannya lawan

Utusan datang menghadap Abdul Mutalib
Meruntuh Ka’bah itulah niat
Robohnya Ka’bah tersangat aib
Pelbagai usaha sudah disekat

Datang Abdul Mutalib membuat rundingan
Harta dirampas menjadi milik
Robohkan Ka’bah itulah impian
Dengki membara sangatlah pelik

Rayu Abdul Mutalib kepada Abrahah
Usahlah Ka’bah jangan diroboh
Niat Abrahah tiada dapat diubah
Ka’bah juga mahu diruntuh

Ditawarlah ibu segala ganjaran
Daerah Tihamah diberi kekayaan
Ditolak mentah tanpa segan
Impian besar tak kan disimpan

Bicara Abrahah dengan sombong
Datang ia merobohkan ka’bah
Kekuatan tentera tiada tertanggung
Kononnya hebat tak kan rebah

Kembali Abdul Mutalib ke kaumnya
Larilah kalian ke puncak gunung
Pergilah kaum tanpa bertanya
Sayangnya Ka’abah banyak direnung

Ditanya orang nasib Ka’bah
Serahkan Allah biar menjaga
Bersama kaum menanti tabah
Ka’bah kesayangan mohon terjaga

Doa Abdul Mutalib bersama pengikut
Selamatkan Ya Allah Ka’bah kami
Tentera bergajah sangatlah takut
Menuju ka’bah mengeggar bumi.

Doa Abdul Mutalib sepenuh hati
Bergayut ia di pintu Ka’bah
Datang Abrahah ganasnya hati
Ketua Gajah menuju Ka’bah

Sampai mereka sempadan Mekah
Berhenti gajah seperti batu
Gajah bergerak teramat payah
Gajah terdiam seumpama batu

Arahlah gajah ke arah Sham
Arah sana gajah bergerak
Apa di arah teramat faham
Menuju Mekah tiada hendak

Bergerak lagi kumpulan gajah
menuju Ka’bah dicuba berkali
Jalannya gajah teramat payah
Diarah gajah berkali-kali

Aneh lagi tiada terkira
Gajah berhenti seperti batu
Pelbagai kaedah berbilang cara
Enggan gajah terpacak kaku

Awan hitam tengah langit
Ribut apa datang melanda?
Burung Abbabil membelah langit
Datang seperti ribut melanda

Kawanan burung amatlah banyak
Datang menyerang tentera Abrahah
Gajah menggelepar seakan dilanyak
Tentera bergajah sudahlah rebah

Burung Ababil membawa batu
Datangnya batu dari neraka
Sungguhpun kecil sakitnya tentu
Itulah nasib ditimpa celaka

Batunya kecil panas berbara
Terkena badan tentera bergajah
Hilanglah arah tiadalah mara
Akhirnya Gajah tersangat lelah

Sangat dahsyat, ajal datang
Umpama daun di makan ulat
Lenyap sudah wajah garang
Ketakutan di wajah seperti mayat

Kembali Abrahah ke negeri Yaman
Terkejut ia beserta lelah
Tidak terkata teramat hairan
Bertemu ajal itulah penyudah

Ka’bah tersohor sangat meluas
Segala Arab datang berkunjung
Sejarah tersebar sudah meluas
Fahamlah sejarah tidaklah binggung

Dalam sejarah ada dicatat
Dinama ia Tahun Gajah
Firman Tuhan jangan diralat
Surah al-Fill sama dibedah

BERA,

18. 10. 2016

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat