(13) SYAIR PERISTIWA PERKAHWINAN NABI MUHAMMAD SAW DENGAN KHADIJAH

SYAIR PERISTIWA PERKAHWINAN NABI MUHAMMAD SAW DENGAN KHADIJAH

Dengarlah tuan hamba berkisah
Kisah Nabi penuh bersejarah
Kisah hidup bercambah hikmah
Cermat membaca mendapat faedah

Orangnya cantik lagi budiman
Khadijah janda hartawan bangsawan
‘Uqbah,  Abu Jahal, Abu Sufian
Bangsawan Mekah menaruh  idaman

Pemuka Quraisy  datang melamar
Ditolak Khadijah dalam sedar
Perangai mereka tiadalah gemar
Perangai buruk tidaklah wajar

Malam indah bermimpi  Khadijah
Mentari turun masuk ke rumah
Terkena sinar seluruh Mekah
Apakah gerangan  begini  faedah?




Waraqah Naufal tempat berjumpa
Pengetahuan luas berbagai rupa
Takwil mimpi bagaimana rupa
Suaminya Nabi ingatkan siapa

Kota Mekah asalnya tempat
Suku Quraisy keluarga terdekat
Bani Hashim keluarga terhormat
Terpaku Khadijah khabar diangkat

Mendengar Muhammad mencari upah
Takbir mimpi sedang ditempah
Bersuamikan Baginda tiada disangah
Tiada dizahir bimbangnya  fitnah

Dua puluh tiga tahun usia
Baginda kini muda belia
Sopan santun sangatlah ceria
Berbahasa indah perawakan mulia

Keturunan hebat penjaga Mekah
Kepada Ahmad cintanya  Khadijah
Pergi Khadijah pada Nafisah
Sahabat baik penghilang gelisah

Tanya Nafisah  inginkah hidup berteman?
Khadijah orangnya insan budiman
Orang hartawan  lagi rupawan
Sukanya Baginda tiada pilihan

Hati Muhammad sangatlah lega
Datang Baginda wakilkan  keluarga
Keluarga turut berasa bangga
Dua hati berumah- tangga

Abu Talib berbicara indah
Hadir bersama bernama Waraqah
Muhammad Khadijah bertaut sudah
Hari Jumaat dirancang mudah

Harta Abu Talib juga saudara
Mas kahwin diberi pelengkap acara
Emas kahwin dibayar segera
Tanda maruah punya bicara

 ‘Amir bin Asad wali Khadijah
Khuwailid bapanya  meninggal sudah
Ijab kabul termetrai  indah
Empat ratus dinar mahar ditempah

Waraqah Naufal pembaca khutbah
Hidup berpasangan hari nan indah
Dua hati berpaut sudah
Hiduplah mereka merukun tabah

Demikian secubit  kisah diangkat
Samalah kita ambil manfaat
Ambilah faham tidaklah berat
Jalan di hadapan tidaklah sesat.

Bera,

10. 10. 2016

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat