Musim Menyengat Datang Bertamu


Ikan mati banyak dituba,
Mencari ikan jari disengat;
Hujan rahmat belumlah tiba,
Sudah terasa panas menyengat.
Bunga harum keringlah kuntum,
Itu tanda sudahlah mati;
Air putih banyaklah minum,
Mana yang kurang air berganti.
Ikan kehausan di dalam kali,
Air sedikit jangan dituba;
Minuman kafein jauh sekali,
Hidrasi cepat bahang tiba.
Cuaca panas kerbau melengguh,
Air di kolam nampaklah itik;
Makanlah buah penyegar tubuh,
Jadikan jus tentulah baik.
Panas menyengat seakan bara,
Keluar rumah tiadalah mahu;
Panas melampau carilah cara,
Penghawa dingin turunkan suhu.
Cuaca panas banyaklah bahaya,
Badan kering membawa lumpuh;
Warna cerah pemantul cahaya,
Kain kapas penyerap peluh.

Waktu kering layulah dedalu,
Pohon rendang tinggallah dahan;
Anak kecil awas selalu,
Dalam kereta ditinggal jangan.
Panas melampau tiadalah aman,
Tempat berteduh carilah cepat;
Payung besar bawalah berjalan,
Dapat ditahan panas menyengat
Di tengah panas ibu mengandung,
Panggillah cepat di tempat selesa;
Pakailah topi buat berlindung,
Panas melampau amat terasa.
Hujan datang barulah tenang,
Hutan belantara jangan diganggu;
Panas terik di tanah lapang,
Strok panas sedia menunggu.
Di tengah padang usah bergurau,
Panas membakar seumpama bara;
Saling nasihat musim kemarau,
Membakar tentu tambahkan sengsara.
Panas menyengat banyaklah derita,
Dosa dibuat cepatlah taubat;
Banyak berdoa sekelian kita,
Hujan rahmat turunlah cepat.
Bera,
23 02 2015

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat