SYAIR PENGORBANAN NABI ALLAH IBRAHIM BERSAMA ANAKNYA ISMAIL
SYAIR PENGORBANAN NABI ALLAH IBRAHIM BERSAMA ANAKNYA
ISMAIL
Dengarlah tuan hamba berkisah
Tersebut kisah di bumi Mekah
Nabi Ibrahim mendapat perintah
Mimpi wahyu dari Allah
Anak dipangkuan akan disembelih
Bernama ayah tentulah sedih
Ismail anak jiwanya pengasih
Terima ketentuan hatinya bersih
Perintah besar tidak diengkar
Apa disuruh tiada dibiar
Dua beranak tiada bertengkar
Terimalah Ismail dengan sabar
Yakin Ismail tanpa keraguan
Perintah Allah tiada disimpan
Di sini kemuncak menguji iman
Hasutan iblis tetap dilawan
Dibawa Ismail ke tempat lapang
Pinta Ibrahim anaknya berbaring
Pengorbanan mereka tidak tertanding
Tajam pisau tiada sumbing
Kulit leher mencecah tanah
Jiwa kental tiada lemah
Berbaring Ismail dengan pasrah
Pengorbanan besar bukan mudah
Pisau tajam leher ditekan
Daging Ismail tidak termakan
Sekuat tenaga pisau ditangan
Tidak mudah untuk melukakan
Tidak jauh di medan korban
Mengembek kambing bunyi seakan
Kibas putih bawah pohonan
Terikat elok duduknya aman
Rupanya kibas dari Allah
Untuk hamba tidak mengalah
Ketentuan Allah terimanya mudah
Hadiah diterima dari Allah
Demikian tuan suatu kisah
Ambillah pengajaran penuh hikmah
Berkorban kita kerana Allah
Nyawa ditaruh alangkah indah
Hamba mukmin wajarlah berkorban
Nyawa dibadan menjadi taruhan
Ketentuan Allah tiada pilihan
Itulah sifat orang beriman
Tinggallah dahulu hamba mengarang
Sifat tercela jangan bersarang
Harta nyawa jangan disayang
Kasih Allah tiada penghujung.
Bera,
09.06. 2016
Assalamualaikum Tuan tanah...mohon ijin gunakan syair ini ye..tq
ReplyDelete