Syair Mengenal Allah

SYAIR MENGENAL ALLAH

Bacalah syair hamba mengarang
Berfikiran lapang juga tenang
Ilmu Allah bukannya senang
Keinginan ada terbukalah ruang

Permulaan di dunia kenallah tuhan
Salah tujuan carilah teman
Jangan hidup tidak keruan
Kita manusia makhluk tuhan

Dua puluh sifat mengenal Allah
Hafallah tuan jangan mengalah
Kenallah tuan nama Allah
Tahulah kita siapa disembah

Wajib mustahil berserta harus
Faham sedalam  petanda yang bagus
Apa dihafal janganlah terkambus
Banyak mengulang tiadakan hangus




Adanya Allah tercipta alam
Wajib percaya jangan tenggelam
Dialah Tuhan segenap alam
Alam ghaib juga disebut alam

Tidak berjisim tidak berjirim
Banyakklah bertanya pada yang alim
Diri sendiri tidaklah zalim
Tahu membeza  zat  dan jisim

Gunakan akal segala deria
Tiada suatu melemahkan Dia
Wujud Allah sudah sedia
Tahu membeza makhluk dan Dia

Allah itu tiada berhajat
Sedikitpun tiada mengenal  penat
Sedikitpun juga tiada yang cacat
Tentulah makhluk banyak berhajat

Fahamlah tuan  tauhid ar-Rubiyyah
Kalau faham hilanglah susah
Allah menjadikan fahamlah mudah
Rezeki maut milik Allah



Esa Allah pada ketunggalan
Makhluk wujud Dia mengadakan
Allah jua yang menghidupkan
Allah juga yang mematikan

Tauhid al-Uluhiyyah  sama difaham
Apa disuruh kuatkan azam
Sembahlah Allah menjadikan alam
Pasakkan sungguh janganlah kelam

Esa Allah pada perbuatan
Apa disuruh janganlah lawan
Kalau sakit mohonlah kasihan
Itulah tersurat dalam firman

Sujudlah hamba pada Tuhan
Wujud Allah usah sekutukan
Andai berbuat sembelihan korban
Hanya Allah memberi ganjaran




Kita makhluk teramat lemah
Segala mungkar sama ditegah
Mohon pertolongan kepada Allah
Ibadah dibuat kerana Allah

Hendaklah faham tauhid Al-asma 
Wajib membenarkan segala nama
Baru hidup tidaklah percuma
Belajarlah faham biarpun lama

Perbuatan Allah tentulah bersalahan
Makhluk hidup kejadian Tuhan
Kesempurnaan Allah penuh kebesaran
Tiada kan sama makhluk ciptaan

Wujud Allah tetaplah sedia,
Tiada permulaan itulah beda
Itulah alasan Allah itu ada
Jauhkan mengata Allah itu tiada

Sedikit  cuma hamba mengarang
Belajarlah tuan jangan membelakang
Kita mahluk banyak yang kurang
Mana yang ada sama dituang

Kepada Allah mohon pertolongan
Mana terlanjur sama betulkan
Benih  yang baik jadikan panduan
Dalamkan ilmu usah  beralasan

Bera,
06. 05. 2016

Rujukan;
                       Anak Kunci Syurga; Asy- Syeikh Abdul Qadir bin ‘Abdul Muthali Al-Indunisi al-mandili;  Al-Hidayah Publication, 2007, Kuala Lumpur.
                        Usul al-Tahqiq; Hj. Wan Ahmad Khalil bin Hj. Muhammad al-Limbadi al-Kelantan;  Ramly Press, 2015; Kuantan.                               


Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat