Seorang Lelaki yang Kaukenali

Seorang Lelaki yang Kaukenali
Tidakkah itu seorang lelaki
Berbadan tegak gagah perkasa bahasanya berbisa
Lelaki seorang negarawan menjadi sebutan dibibir setiap insan
Lelaki seorang hartawan itu hartanya sudah mencapai jutaan
Lelaki seorang sasterawan itu karyanya sudah berjilid
Lelaki seorang cendikiawan di pentas cendikia itu kajiannya tidak terbilang
Lelaki seorang angkasawan membelah angkasa tanpa sempadan
Lelaki seorang ulamak besar kitabnya tersebar ke serata alam
Lelaki seorang politikus itu semangat siasah tidak pernah menikus
Lelaki seorang pentadbir itu kata bicaranya semua orang akur tidak bisa berdengkur
Lelaki seorang usahawan itu hartanya seperti cendawan padang selepas hujan
Lelaki seorang peladang tanamannya membuah disimpan sepenuh gudang
Lelaki seorang nelayan hasil tangkapan sepenuh kapal
Lelaki seorang olahragawan itu namanya harum menjadi sebutan
Lelaki seniman itu hasil karyanya melempasi sempadan
Atau siapa saja dilahirkan lelaki yang menempah tiket kejayaan.
Akurlah wahai seorang lelaki
Katakan benar; hebatnya kalian kerana di sisimu ada seseorang
Pengasuhmu; dari dodoi ribaan seorang ibu pengasih sepanjang zaman
Pendampingmu; dari peluh kasih seorang isteri penyayang yang tidak pernah usang
Dialah insan perempuan
Yang kaukata
Daif
Tanpa mereka
Kauseperti sampah hanyut yang terbuang.
Dalam dodoi ribaan seorang ibu
Dalam peluh kasih seorang isteri
Dalam keringat yang membasahi pipinya
Ada doa bersahutan
Ada doa beriringan
Ada doa impian
Terus meminta
Yang penuh pengharapan.
Bera,
02 03 2015

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat