Seekor Merak dengan Ekornya

Seekor Merak dengan Ekornya
Seekor merak memulakan cerita,
Di depan cermin melihat dirinya sendiri;
Ekor panjang memukau mata,
Warna indah perhiasan diri.
Ingin dipuja itulah diharap,
Dimata sahabat juga taulan;
Kawan datang kembanglah sayap,
Mempamerkan kecantikan itulah impian.
Ekor disisir memanglah kerap,
Terlindung hendaknya mana yang cacat;
Kawan pergi kucuplah sayap,
Tiada siapa mahu melihat.
Di tempat terang panas terik,
Di situ tempat peragakan badan;
Ekor cantik warna menarik,
Sayang tiada dapat membelah awan.
Tiada teman tidaklah selesa,
Kawan yang datang tunjukkan badan;
Kelebihan itu untuk insan biasa,
Kelemahan juga dalam gengaman.
Sahabat datang sudah siaga,
Tunjukkan teman bulu nan indah;
Kelebihan ada usah dibangga,
Kelemahan ada jangan merendah.
Kembalilah hidup fitrah yang asal,
Orang berilmu tempat merujuk;
Kelebihan itu tiada akan kekal,
Kekurangan diri usah ditunjuk.
Bandar Bera,
14 03 2015

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat