Pantun Gelagat Murid dalam Kelas


Pantun gelagat murid dalam kelas

Dari jauh ombaknya tenang,
kapal belayar nampaklah api;
cikgu di depan bersuara lantang,
murid di belakang membilang mimpi.

Kapal belayar berpandu peta,
kapal  muatan membawa kentang;
cikgu di depan menghurai fakta,
murid di belakang fikiran menerawang.

Kapal belayar di hujung tanjung,
anak kapal naik ke kota,
cikgu di depan mengajar mengarang,
dikarangnya surat bermain cinta.

Anak kapal naik beca,
dalam kapal hidupnya susah,
diberi buku minta dibaca,
dikoyak buku dibuat sampah. 


Kapal berlabuh sudah berlayar,
tanda belayar di pukul gendang;
datang petang kononnya belajar,
rupanya asyik bermadu cinta.

Tinggallah sudah negeri kota,
kapal belayar hari Isnin;
cikgu di depan menerang fakta
murid di sisi asyik bercermin.

Dalam kapal jangan malas,
belah kayu cari kapak,
diberi sapu membersih kelas;
bertambah kotor berbau hapak.

Orang belayar semangatnya kental,
kuat semangat tiada ragu;
diberi fakta minta di dihafal,
rupanya sibuk menghafal lagu.

Dalam kapal jangan gentar,
buat kerja benarlah rajin;
diberi kelas untuk belajar,
rupanya sibuk dibuat kantin.


Kapal  besar muatan kain,
ada juga pinggan dan cawan;
diberi padang untuk bermain,
dalam kelas terajang kawan.

Hidup seorang jangan diamal,
carilah kawan carilah teman;
diberi zikir minta diamal,
memekik terlolong dihasut syaitan.

Kapal  belayar amatlah payah,
hilang peta datanglah ragu;
setiap hari lambat ke sekolah,
bermuka selamba depan cikgu.

Kapal lama hilanglah bentuk,
ganti kapal teknologi maya;
ubah segera tabiat buruk,
kalau anak ingin berjaya.

Bera
13. 10. 2012

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat