SYAIR BAGAIMANA MENDAPATKAN HUSNUL KHATIMAH (KEMATIAN YANG BAIK)

Hamba berdakwat jadikan kalam (bait 1)
Kalam terbit bernama ilham
Ilham berantai untuk difaham
Bacalah syair sampai khatam

Bahasa biasa mudah kedengaran (bait 2)
Bahasa bersajak hamba suratkan
Ambillah tuan jadikan panduan
Tidak kita tersesat jalan

Andai pendek mohon di panjang (bait 3)
Kurang isi sama dikendung
Semoga tuan beroleh senang
Dapatlah difaham apa dikarang

Selawat salam teristimewa junjungan (bait 4)
Dialah Nabi sepanjang zaman
Banyakkan selawat beratkan timbangan
Istighfar selalu dosa berguguran



Husnul Khatimah hamba mengarang (bait 5)
Inilah mutiara untuk dikembang
Kematian itu pastinya datang
Akhirnya baik harapan mengundang

Husnul Khatimah itu rahmat (bait 6)
Anugerah Allah sudah tercatat
Bagaimana mencari itu di dekat
Biar bersebati darah melekat

Tekunlah kita segala ibadah (bait 7)
Taat atas segala perintah
Jauh segera larangan Allah
Doa selalu dapatkan magfirah

Sabar saat mendapat cubaan (bait 8)
Bersyukur kita dapat kenikmatan
Dalam Al-Qu’ran itulah firman
Surah Az-Zumar ada catatan

Itulah syarat Husnul Khatimah (bait 9)
Jejak Nabi jadikan contoh
Jadikan hidup ikutan sunnah
Fikirlah selalu ganjaran ditambah

Usia ada itulah modal (bait 10)
Ikut yang benar terlepas sesal
Nyawa di badan jadikan bekal
Itulah kenderaan ke dunia kekal

Hidup di dunia sebenarnya sementara (bait 11)
Mengejar amal biar bersegera
Umur bersisa sungguh berharga
Dosa dihimpun janganlah lega

Maksiat di depan tutup terperdaya (bait 12)
Seksa akhirat wajib percaya
Jangan nanti tubuh tak terdaya
Membuat amal tidak bermaya

Ingatlah kita usia berkurang (bait 13)
Maksiat dihimpun mengapa senang?
Maksiat di depan janganlah girang
Nanti kita rebah kecundang




Tutuplah segera kamar kemaksiatan (bait 14)
Di situ lembah denai keburukan
Mati  su’ul khatimah bukan idaman
Alangkah cela mati demikian

Mukmin benar ada berfikiran (bait 15)
Maksiat dibuat di gunung pinggiran
Bimbang batu jatuh runtuhan
Alangkah malang nasibnya badan

Dosa dibuat usah diremehkan (bait 16)
Dosa itu penghapus kebaikan
Dosa terpalit jangan berterusan
Buangkan jauh baru berimbalan

Dosa kecil tetaplah dosa (bait 17)
Sedikit tidak bertambah pahala
Maksiat itu sangat tercela
Maksiat kecil jangan menjala

Pilihlah jalan untuk bertakwa (bait 18)
Perangai jahat jangan dilewa
Dosa dibuat jangan ketawa
Kelak badan mengundang cela

Tersebut kisah zaman Rasulullah ( bait 19)
Masa perang tentera Rasulullah
Selesai perang lukanya parah
Rupanya neraka tempat ditempah

Tidak tertahan dengan kesakitan (bait 20)
Percepat dia dengan kematian
Bunuh diri jadi taruhan
Hilanglah mati dalam kebaikan

Waspada selalu saat kematian (bait 21)
Semoga penyudah dalam kebaikan
Beroleh kita dalam kebaikan
Pasti terlolong segala syaitan

Semoga Allah beri kemudahan (bait 22)
Sifat buruk jangan dibuat tabungan
Pergi kita dalam iman
Tiada lain itulah idaman




Berakhir kebaikan itu harapan (bait 23)
Raih segera segala kesempatan
Syirik bersarang bukan ikutan
Ajaran Allah itu pilihan

Himpunkan manfaat untuk ummah (bait 24)
Segala amal mesti ditambah
Harta disedia bertambah faedah
Tingkat keimanan makin bertambah

Kotoran hati mesti dibuang (bait 25)
Riya’ takabbur juga sombong
Cepatlah buang jangan berusang
Perangai syaitan suka berladang

Sahabat Nabi jadikan ikutan (bait 26)
Rasul sudah beri jaminan
Mereka waspada segala kesalahan
Ikutan sesat dikunci jalan

Jagalah lidah ibu kesalahan (bait 27)
Dialah penyebab segala keburukan
Di sini pintu fitnah berhamburan
Perangai syaitan saling berjilatan

Panjang angan-angan bukan ikutan (bait 28)
Ingin hidup cintai kehidupan
Hawa nafsu menjerat kemaksiatan
Para fuqaha pesan kebajikan

Pernah-pernik duniawi mesti dihindar (bait 29)
Bimbang kita hidup tersasar
Hidup berangan banyaklah gusar
Nafsu duniawi sama dihindar

Pintu maksiat memang menggoda (bait 30)
Harta duniawi ingin diganda
Perempuan cantik hati tergoda
Tidak sedar dosa bernoda

Kematian itu urusan tuhan (bait 31)
Nyawa pergi entah kapan
Allah berkehendak tidak disimpan
Bawalah jasad ke liang kuburan




Salafus soleh jadikan ikutan (bait 32)
Bimbang dosa terus berhimpunan
Entah bila roh berterbangan
Alangkah gusar iman berkurangan

Kematian itu suatu misteri (bait 33)
Tidak perlu gopoh mencari
Datangnya malaikat sudah pasti
Nadi denyutan sabarlah menanti

Waspada detik ada di depan (bait 34)
Syaitan terkutuk perdaya iman
Ingat selalu jerat syaitan
Ingin mencabut pautan iman

Ingat selalu orang beriman (bait 35)
Waspada selalu musuh syaitan
Nabi Adam ke hujung zaman
Pujuk manusia buat kejahatan

Syaitan itu sembunyi dalam fikiran (bait 36)
Mengalir bersama darah di badan
Pujuk manusia himpunkan kejahatan
Mohonlah doa lepaskan kongkongan

Apa pula Su’ul Khatimah? (bait 37)
Itu bermaksud buruk ditempah
Perginya roh dalam murka Allah
Alangkah malang hilanglah indah

Lemaskan diri berbuat maksiat (bait 38)
Tidak berbuat kerja bertaubat
Nafsu rakus tidak disekat
Alangkah rugi teramat sangat

Apa disuruh kerjakan taat (bait 39)
Usah dibuat segala maksiat
Barulah memohon segala rahmat
Itu hidup tanpa cacat

Taubat selalu jahat terlanjur (bait 40)
Jangan menanti jasad terbujur
Orang menasihat ucapkan syukur
Dosa bertimbun hendaklah akur




Jangan menunda segala taubat (bait 41)
Benci difikiran segala maksiat
Orang zalim tinggalkan taubat
Mana untung datang mendekat?

Kuasai segera ilmu taubat (bait 42)
Mana mungkar jangan di dekat
Lakukan segera solat taubat
Istighfar selalu biar mendekat

Rasul sendiri segera taubat (bait 43)
Mengapa umat menunda taubat?
Taubat itu jalannya tepat
Jalan ke syurga semakin dekat

Panjang angan-angan segera sekat (bait 44)
Lupa sudah kematian mendekat
Lubang kubur kabur  terlihat
Lupa benar hari akhirat

Harta melimpah kikir melekat (bait 45)
Harta berlebih tidak berzakat
Sedekah tidak kedekut sangat
Semoga pembaca tidak berbuat
Rakus tercela amat bahaya (bait 46)
Kumpul harta untuk membangga
Kerja akhirat tidak bersegera
Diri diulit bermacam lara

Kumpul harta jalan benar (bait 47)
Pintu dakwah tidak tersasar
Terlepas diri dari gusar
Jalan lurus itulah wajar

Orang berasa segera mati (bait 48)
Membuat amal tidak dinanti
Selalu segera bersihkan hati
Doa dimohon tidak berhenti

Panjang angan-angan siapakah dia? (bait 49)
Kurang taat tidak beria
Rakus selalu kumpul harta
Hatinya keras malas berdoa

Alangkah buruk terpalit dosa (bait 50)
Dosa dibuat dianggap biasa
Itu dinama mati sengsara
Empunya diri jasad didera
Jagalah tuan tentang al-lahazat (bait 51)
Ini dikata pintu syahwat
Pandangan mata penuh muslihat
Inilah maksiat rendahkan derjat

Pandangan pertama lahirkan lintasan (bait 52)
Lintasan di depan membentuk fikiran
Fikiran di akal menjadi kenyataan
Bersabar kita mata menahan

Bersabar menahan terlebih ringan (bait 53)
Kalau di badan menanggung beban
Anak panah terjauh sasaran
Baru selamat empunya badan

Al-Khattharat maksud fikiran melintas (bait 54)
Keinginan berbuat sudah terliintas
Kawal fikiran terlepas culas
Kalau tidak terlebih ganas

Al-lafazhat bermaksud kerja ucapan (bait 55)
Berkata yang baik itu keuntungan
Apa sahaja beri kebaikan
Itu patut kita kerjakan
Memang susah menjaga lidah (bait 56)
Lidah itu diumpamakan panah
Segala sengketa akhirnya punah
Dialah bermula akarnya nanah

Al-Khatthawat kata untuk dicatat (bait 57)
Langkah nyata bila berbuat
Langkah maksiat perlu diingat
Kaki melangkah perlu diikat

Perbuatan membunuh perlu ditegah (bait 58)
Membunuh orang perlu disergah
Keinginan sendiri atau diupah
Akhirat nanti terikat payah

Membunuh diri juga ditegah (bait 59)
Sebesar mana datang musibah
Nyawa hamba milik Allah
Neraka jahanam tempat ditempah

Beban hidup banyak tawakal (bait 60)
Tindakan laknat akhir menyesal
Musibah berat tidak kan gagal
Terlepas hendak tindakan bebal
Alam barzakh perkara benar (bait 61)
Bagaimana hamba bisa terlepas?
Syahid di jalan Allah tidak tersasar
Mati berkawal perang yang sukar

Surah Al-Mulk perkara benar (bait 62)
Dalam hadis disebut benar
Banyak berzikir tidaklah gusar
Banyakkan amal terlepas gusar (bait 63)

Amalan lain tidak terbatas (bait 64)
Tinggalkan maksiat usah terbabas
Buat amal cepatkan lekas
Seksa kubur moga terlepas

Seksa kubur siapakah dapat? (bait 65)
Tidak beriman pasti dapat
Golongan munafik mendapat cepat
Menghalang orang ingin solat

Maksiat dibuat ada habuan (bait 66)
Cepat istighfar terselamat jalan
Banyak selawat ciri beriman
Dirikan solat selamatlah iman
Banyak berdoa kekalkan iman (bait 67)
Kekalkan hidayah hindarkan kesesatan
Mohon selamat godaan syaitan
Dunia akhirat beroleh aman

Hidup baik itu tujuan (bait 68)
Selalu ikhtiar tuju kebaikan
Solat selalu jangan tinggalkan
Mati kita dalam kebaikan

Kita umpama biji kelapa (bait 69)
Putik juga jatuh apatah tua
Bersedia kita tiada cerita
Tunggu masa hijrah ke pusara

Selesai sudah syair sepatah (bait 70)
Mohon maaf terlipat lidah
Bersama kita jalinkan faedah
Hanya Allah berpaling wajah

Hamba mengarang saling ingatan (bait 71)
Andai salah mohon betulkan
Bersiap kita pusara kematian
Itulah benar tujuan kehidupan

Kepada Allah mohon keampunan (bait 71)
Tersalah lidah adab kedaifan
Hamba hidup serba kekurangan
Bersama kita menggalas kebaikan.

Selesai dahulu hamba mengarang di Bandar Bera, Pahang Darul Makmur  pada 02 Jamadul Akhir 1438 Hijrah bersamaan  28 Febuari 2017.

Rujukan;
Panduan Menggapai Husnul Khatimah; Panduan Do’a, Dzikir & Amalan untuk Menggapai Husnul Khatimah: Khairul Anwar; Smart Pustaka, Yogyakarta, 2013.
Catatan;
Al-Khatharat    – fikiran melintas di benak
Al-Khathawat  – langkah nyata sebah perbuatan
AL-lafazhat      – kata-kata atau ucapan
Al-lahazhat      – pandangan pertama
Barzakh           – alam kubur
Husnul Khatimah – mati dalam kebaikan
Magfirah         – keampunan
Pernak-pernik – perhiasan
Su’ul Khatimah – mati dalam keburukan/kemaksiatan
Solafus-soleh   – orang-orang Islam pertama yang terdiri daripada sahabat, tabi’in, tabi’ut
                               tabi’in (tiga generasi awal Muslimin)

Maksud Surah Az-Zumar – “Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah  Kepada Tuhanmu”. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini  akan memperoleh  kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Sesungguhnya  orang-orang yang bersabar  akan dicukupkan pahala mereka tanpa  batas.” (QS. Az-Zumar: 10).

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat