SYAIR KEISTIMEWAAN RASULULLAH DAN UMATNYA

SYAIR KEISTIMEWAAN RASULULLAH DAN UMATNYA

Hamba mengarang untuk ingatan (Rangkap 1)
Selawat salam untuk junjungan
Juga sahabat rakan seperjuangan
Usaha mereka kita naungan  iman

Syair dikarang perihal keistimewaan (Rangkap 2)
Ambil faham jadi keutamaan
Rasul pilihan akhir zaman
Inilah pokok jadi pilihan

Rasulullah itu pemimpin para Nabi (Rangkap 3)
Baginda pemimpin paling tinggi
Akhlak sifat memang terpuji
Hendaklah umat patut syukuri

Panji kepujian hari kiamat (Rangkap  4)
Di situ letak ketinggian martabat
Panji Rasululah sangatlah dekat
Nabi Adam di bawah Rasulullah dicatat




Dosa Nabi diampunkan Allah (Rangkap 5)
Terlepas dosa jangan disanggah
Inilah sifat teramat indah
Nabi lain tiada faedah

Hari akhirat pemberi syafaat (Rangkap 6)
Untuk hamba yang taat
Baginda pemberi pertolongan hebat
Kita umat kumpulkan selawat

Masalah umat letak di depan (Rangkap 7)
Masalah diri bukan pilihan
Bimbang umat di ranting kesesatan
Hidup di dunia hilang pedoman

Allah muliakan sebutan panggilan (Rangkap 8)
Apatah kita pengikut ikutan
Itulah nabi gelar kehormatan
Mari bersama besarkan perjuangan

Mukjizat Nabi kekal berzaman (Rangkap 9)
Itulah dia namanya Al-Qur’an
Tetap terpulihara ke akhir zaman
Ambil manfaat janganlah bosan

Salam dari batu ketika di Mekah (Rangkap 10)
Batang tamar menanggis waktu berpisah
Makhluk lain hormat Rasulullah
Terlebih pula hamba Allah

Keluar air dari jari (Rangkap 11)
Mata rosak sihat kembali
Itulah mukjizat sukar dicari
Itulah bukti Rasul dan Nabi

Orang kufur berduyung mengucap iman (Rangkap 12)
Percaya hidup adanya Tuhan
Inilah akidah beri keutamaan
Penduduk Mekah semua beriman

Umat Muhamad terbaik golongan (Rangkap 13)
Dalam syurga beriringan sanjungan
Terbaik golongan Allah pilihkan
Pengikut Muhammad diberi keutamaan

Rasul lain terhad pilihan (Rangkap 14)
Kaumnya sahaja untuk golongan
Tidak demikian nabi akhir zaman
Jin manusia dalam rangkuman

Pernah kembara  ke  Sid’ratul Muntaha (Rangkap 15)
Langit ketujuh luar angkasa
Melihat isi syurga dan neraka
Tempat diterima solat lima masa

Alam dunia akhirnya umat (Rangkap 16)
Umat pertama hisab di akhirat
Dalam syurga pertamanya tempat
Itu istimewa lebihnya umat

Muhammad  pertama bangkit dari kubur (Rangkap 17)
Adanya syafaat tersangat mujur
Sayangnya umat tak pernah mundur
Kasih sejati tak pernah kendur

Darjat tertinggi dalam syurga (Rangkap 18)
Duduk istimewa sangat berharga
“Al- Wasilah” anugerah  berharga
Banyaklah berdaa  tidak terhingga

Dalam syurga kolam Al-Kautsar (Rangkap 19)
Dapat minum bertambah segar
Nikmat syurga Allah membayar
Janji Allah tidak tersasar

Umat Muhammad terakhir zaman (Rangkap 20)
Padang Mahsyar cepat penyelesaian
Di situ besar nampak kedudukan
Nabi kita banyak kelebihan

Harta perang halal dimakan (Rangkap 21)
Harta ‘ghanimah’ nama sebutan
Umat terdahulu tiada keizinan
Berselawat kita Nabi kebesaran

Tempat bersujud tersangat luas (Rangkap 22)
Kerjakan solat buangkan culas
Dirikan solat buatlah lekas
Hati berzikir janganlah malas

Allah sendiri memuji Rasulullah (Rangkap 23)
Peribadi akhlak memang terserlah
Berbudi pekerti mewangi indah
Tirulah umat meskipun susah

Wahyu Allah berbagai cara (Rangkap 24)
Malaikat Jibril datang bicara
Mimpi benar waktu ‘jendera’
Israk Mikraj rakam peristiwa

Teramat pendek umur umat (Rangkap 25)
Ganjaran dapat bersusun dapat
Lailatul Qadar amalan dicatat
Itulah malam seribu berkat

Bersikap tawaduk itulah sifat (Rangkap 26)
Waktu berpuasa doa dipanjat
Waktu kenyang syukur mendekat
Tiada lain Allah diingat

Baginda Rasul membawa rahmat (Rangkap 27)
Seluruh alam terasa dekat
Mana durhaka antara umat
Azab dunia tiada mendekat

Baginda Rasul istimewa sifat (Rangkap 28)
Khusyuk tawadhuk dalam ibadat
Kepada umat memberi nasihat
Suruhan Allah mestilah taat

Perkara halal berlemah lembut (Rangkap 29)
Perkara haram tegas bersemangat
Bersama Muslim lembutnya sifat
Golongan kafir tegasnya berat

Dakwah disampai untuk umat (Rangakap 30)
Kasihan belas itulah sifat
Penyayang sabar membimbing umat
Bimbang umat jauh tersesat

Amanah Allah semua disampai (Rangkap 31)
Tiada sedikit Baginda sadai
Amanah Allah tiada digadai
Semua betul tidak berandai

Terjaga umat sesat semua (Rangkap 32)
Akidah umat tetap terpulihara
Terlepas umat dari sengsara
Songsang akidah betulkan cara

Al-Qur’an kitab tetap terpulihara (Rangkap 33)
Gunakan akal segala deria
Berpakat musuh tidak terhingga
Al-Quran mukjizat tetap terjaga

Sabda Rasulullah biarpun sedikit (Rangkap 34)
Makna luas seumpama bukit
Fasih berbahasa luas melangit
Benar kata tidak terungkit

Nabi beroleh  segala kelebihan (Rangkap 35)
Nabi lain tidak demikian
Setiap amal ada keistimewaan
Semua dibenar firman Tuhan

Limpah kurnia Allah berikan (Rangkap 36)
Sunnah Rasul jadi ikutan
Pengikut setia Allah tunjukkan
Kabulkan doa Allah berikan

Wajib umat sayangkan Nabi (Rangkap 37)
Ajaran petunjuk sama diikuti
Itulah tanda cinta sejati
Rasul Allah berlebih kasihi

Para kiyai alim ulamak (Rangkap 38)
Andai salah mohon disemak
Mana yang benar dapat dibentuk
Ilmu dapat faham diteguk

Inilah nukilan ulamak silam (Rangkap 39)
Sultan ulama’ Al-izz Abdul Salam
Di sini tempat mendapat faham
Baca berkali jadikan azam

Tersalah tulis mohon tujukkan (Rangkap 40)
Cari guru mohon panduan
Hanya ini mampu hamba suratkan
Semoga tuan tambah perbendaharaan.

Bersyukur hamba dapat  selesaikan syair ini dalam perjalanan dengan keretapi  dari  Pasir Mas, Kelantan Darul Naim  ke Triang, Pahang Darul Makmur  pada 21 Jamadi Akhir 1438 H bersamaan 20 Mac 2017.

Rujukkan;

Persoalan Awal Tentang Kelebihan Rasulullah SAW (Bidayah Al-Suul  Fi Tafdhil al-Rasul SAW); Sheikh Izzuddin Abdul Aziz bin Abdul Salam As-Sulami  (577 – 660 H): Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan; 2010 M. 

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat