Pantun Menuju Tanah Bahagia



Waktu malam keluar keluang,
Bersama anak terbang manja;
Jika pagi sudah menjelang
Usah bertangguh  ke hari senja.

Malam sunyi amatlah senang,
Pangkuan bonda adik bersenda;
Perkara lalu usah dikenang,
Kalau dikenang merosak minda.

Anak burung menunggu umpan,
Disambar helang terbang leka;
Kita merancang Tuhan menentukan,
Terimalah ketentuan hati terbuka.

Tumbuh kelapa tepi taman,
Benih baik sukar dicari;
Pendirian teguh mesti pasakkan,
Kritikan datang mengangkat diri.

Waktu pagi  mengail ikan,
Sanggup menanti waktu petang;
Beramal soleh pintu kehidupan,
Kebahagiaan menanti teramat gemilang.





Cari rezeki sama difikir,
Kautlah habis sampai licin;
Ketenangan datang di pintu zikir,
Keteduhan hidup pasti tercermin.

Bersama teman berbual asyik,
Cermatlah menegur jangan diganggu;
Ikhlas diri berbuat baik,
Terima kasih  manusia usah ditunggu.

Selagi hidup bernama insan,
Masalah datang sama diramu;
Persiapkan diri menerima cubaan,
Pelbagai kemunginan pasti bertamu.

Waktu panas usah bertingkah,
Tangguh dulu mahu bersukan;
Kemungkinan terjadi tersimpan hikmah,
Mungkin di situ pengukur iman.

Rajin bekerja mendapat upah,
Inovasi baru sama direka;
Hitunglah nikmat  besar melimpah,
Pintu kesyukuran sama dibuka.

Rajin bekerja samalah sanggup,
Dapat upah hati senang;
Pemberian yang ada sudahpun cukup,
Saudara di belakang banyak yang kurang.


Masalah hidup pandailah urus,
Mana yang bengkok adalah jalan;
Musibah datang bertali arus,
Jalan keluar  ada penyelesaian.

Musuh datang pandailah lawan,
Kekalautan tiba buangkan bosan;
Salah perhitungan bandan menyesal
Musibah datang membangun iman.

Musuh bertandang pandailah lawan,
Carilah ikhtiar buangkan susah;
Rintangan kesulitan bukan halangan,
Kuatkan hati mencari tabah.

Perkara buruk usah diturut,
Banyak bertenang jangan melanda;
Keampunan Allah tiada kan surut,
Banyakkan istighfar membersihkan noda.

Bera,

08 03 2015

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat