INDAHNYA BERSATU SUARA

PANTUN; INDAHNYA BERSATU SUARA
Usah dipaling pohonan kering,
siram bersama air disukat;
berfikir matang dalam tenang,
pengalaman ditimba kata berpakat.
Sama ceria tikar dibentang,
tidak sesia padi disukat;
bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kata sepakat.
Sama bercerita di bawah teduh,
dengar berita hentikan sibuk;
sakit kita sama mengaduh,
luka kita sama menyiuk.
Tanah digebur menanti masa,
jangan dibiar musuh bersarang;
sama lebur sama binasa,
sama ikrar mematah sombong.
Jerami dihimpun selepas menuai,
pondok dibangun menghilang letih;
seindah serumpun bagai serai,
seindah susun bagai sirih.
Tali tangsi bersama paku,
buat mengukur kayu panjang;
bagai isi dengan kuku,
seumpama aur dengan tebing.
Bawah bayang rihat mencangkul,
duduklah makan si ikan kering;
berat masalah sama dipikul,
mana ringan sama dijinjing.
Nampak ceria sedang berhitung,
hasil bersih terlepas perit;
sama gembira waktu senang,
sama bersedih waktu sakit.
Bunga mekar bawah selipar,
bawalah simpan atas para;
perkara mungkar samalah sedar,
bersatu kita patahkan suara.
Tersalah kerat jangan dicerca,
Kayu disimpan tepi perigi;
Kata sepakat mencari neraca,
Musuh di depan melangkah pergi.
Bandar Bera,
04. 11. 2016

Comments

Popular posts from this blog

Berbalas Pantun (3)

Mari Berbalas Pantun

Pantun Taubat