SYAIR MENGENAL ALLAH
SYAIR MENGENAL ALLAH
Bacalah syair hamba mengarang
Berfikiran lapang juga tenang
Ilmu Allah bukannya senang
Keinginan ada terbukalah ruang
Permulaan di dunia kenallah tuhan
Salah tujuan carilah teman
Jangan hidup tidak keruan
Kita manusia makhluk tuhan
Dua puluh sifat mengenal Allah
Hafallah tuan jangan mengalah
Kenallah tuan nama Allah
Tahulah kita siapa disembah
Wajib mustahil berserta harus
Faham sedalam petanda
yang bagus
Apa dihafal janganlah terkambus
Banyak mengulang tiadakan hangus
Adanya Allah tercipta alam
Wajib percaya jangan tenggelam
Dialah Tuhan segenap alam
Alam ghaib juga disebut alam
Tidak berjisim tidak berjirim
Banyakklah bertanya pada yang alim
Diri sendiri tidaklah zalim
Tahu membeza zat dan jisim
Gunakan akal segala deria
Tiada suatu melemahkan Dia
Wujud Allah sudah sedia
Tahu membeza makhluk dan Dia
Allah itu tiada berhajat
Sedikitpun tiada mengenal penat
Sedikitpun juga tiada yang cacat
Tentulah makhluk banyak berhajat
Fahamlah tuan tauhid
ar-Rubiyyah
Kalau faham hilanglah susah
Allah menjadikan fahamlah mudah
Rezeki maut milik Allah
Esa Allah pada ketunggalan
Makhluk wujud Dia mengadakan
Allah jua yang menghidupkan
Allah juga yang mematikan
Tauhid al-Uluhiyyah sama
difaham
Apa disuruh kuatkan azam
Sembahlah Allah menjadikan alam
Pasakkan sungguh janganlah kelam
Esa Allah pada perbuatan
Apa disuruh janganlah lawan
Kalau sakit mohonlah kasihan
Itulah tersurat dalam firman
Sujudlah hamba pada Tuhan
Wujud Allah usah sekutukan
Andai berbuat sembelihan korban
Hanya Allah memberi ganjaran
Kita makhluk teramat lemah
Segala mungkar sama ditegah
Mohon pertolongan kepada Allah
Ibadah dibuat kerana Allah
Hendaklah faham tauhid Al-asma
Wajib membenarkan segala nama
Baru hidup tidaklah percuma
Belajarlah faham biarpun lama
Perbuatan Allah tentulah bersalahan
Makhluk hidup kejadian Tuhan
Kesempurnaan Allah penuh kebesaran
Tiada kan sama makhluk ciptaan
Wujud Allah tetaplah sedia,
Tiada permulaan itulah beda
Itulah alasan Allah itu ada
Jauhkan mengata Allah itu tiada
Sedikit cuma hamba
mengarang
Belajarlah tuan jangan membelakang
Kita mahluk banyak yang kurang
Mana yang ada sama dituang
Kepada Allah mohon pertolongan
Mana terlanjur sama betulkan
Benih yang baik
jadikan panduan
Dalamkan ilmu usah beralasan
Bera,
06. 05. 2016
Rujukan;
Anak Kunci Syurga; Asy- Syeikh Abdul Qadir bin ‘Abdul Muthali
Al-Indunisi al-mandili; Al-Hidayah
Publication, 2007, Kuala Lumpur.
Usul al-Tahqiq; Hj. Wan Ahmad Khalil
bin Hj. Muhammad al-Limbadi al-Kelantan; Ramly Press, 2015; Kuantan.
Comments
Post a Comment